SEORANG lagi ADUN dari Bersatu di Negeri Sembila mengambil pendirian berkecuali berikutan konflik politik di negeri itu yang menyaksikan 14 ADUN UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dalam kenyataan malam ini ADUN Labu, Mohd Hanifah Mohd Baker berkata beliau membuat pendirian ini dibuat selepas pertimbangan yang teliti dan menyeluruh, dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta keperluan mendesak untuk memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
‘’Keutamaan kami adalah memastikan suasana politik kekal kondusif agar tidak menjejaskan usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam keadaan semasa yang penuh cabaran,’’ katanya.
Hari ini ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad mengambil pendirian yang sama dan menegaskan keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam kepentingan rakyat serta kestabilan negeri dan negara secara keseluruhan.
Mengulas lanjut Mohd Hanifah berkata, beliau berpandangan bahawa pendirian UMNO di peringkat nasional mahupun di Negeri Sembilan ketika ini dilihat tidak konsisten dan berpotensi mengelirukan rakyat.
‘’Malah, pendekatan yang diambil seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan rakyat secara keseluruhan,’’ katanya.
Sehubungan itu, tegas beliau, perubahan besar dalam landskap politik negeri wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum atau pilihan raya negeri yang akan datang, dan bukannya dilaksanakan dalam suasana yang boleh menjejaskan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
‘’Pada masa yang sama, semua pihak harus memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat,’’ katanya.
Beliau berkata, pendirian berkecuali ini mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip kematangan politik, kestabilan pentadbiran dan keutamaan kepada kebajikan rakyat melebihi kepentingan politik jangka pendek.


