RIBUAN rakyat Palestin berhimpun pada Khamis di Gaza City bagi mengiringi pengebumian Azzam al-Hayya yang meninggal dunia selepas cedera parah dalam serangan udara Israel di kawasan al-Daraj, timur bandar itu, malam sebelumnya.
Menurut laporan tempatan, solat jenazah diadakan di Masjid Al-Kanz sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan Hospital Baptist di timur Gaza City untuk dikebumikan.
Laporan Al Jazeera menyatakan orang ramai memenuhi jalanan dan mengusung jenazah Azzam al-Hayya anak keempat kepada pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayy selepas selesai solat jenazah.
Azzam dilaporkan meninggal dunia pada pagi Khamis di Hospital al-Shifa selepas doktor cuba menyelamatkan nyawanya menerusi pembedahan susulan kecederaan kritikal akibat serangan tersebut.
Serangan sama turut mengorbankan seorang lagi rakyat Palestin, Hamza al-Sharbasi, yang dilaporkan berada bersama Azzam ketika kawasan al-Daraj dibedil. Beberapa individu lain turut dilaporkan cedera.
Laporan tempatan menyebut Azzam merupakan anak keempat kepada pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya, yang terbunuh sepanjang perang di Gaza.
Azzam juga dilaporkan ialah saudara kembar kepada Hammam al-Hayya yang maut dalam satu serangan Israel di Doha pada September tahun lalu.
Dalam kenyataannya kepada Al Jazeera, Khalil al-Hayya berkata sasaran politik di sebalik serangan itu adalah untuk memberi tekanan kepada perunding Palestin serta menghantar mesej bahawa pemimpin penentangan dan keluarga mereka tidak terkecuali daripada pembunuhan.
“Pembunuhan kini menjadi kejadian harian dalam dasar intimidasi yang sistematik,” katanya.
Beliau menegaskan serangan sedemikian tidak akan mematahkan semangat rakyat Palestin atau memaksa mereka menyerah kalah.
“Kami tidak akan meninggalkan tanah kami dan tidak akan menyerah kalah walau sebesar mana pengorbanan,” katanya lagi.
Hamas turut mengutuk pembunuhan itu dalam satu kenyataan rasmi dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada dasar Israel yang menyasarkan orang awam serta keluarga pemimpin Palestin bagi memberi tekanan politik terhadap gerakan penentangan.
Menurut Hamas, pembunuhan tersebut tidak akan memaksa perunding Palestin menggugurkan tuntutan untuk menamatkan perang, menamatkan sekatan dan memastikan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.
“Penyasaran anak-anak pemimpin Palestin tidak akan melemahkan pendirian penentangan,” menurut kenyataan itu sambil menegaskan tindakan sedemikian hanya akan meningkatkan lagi keteguhan rakyat Palestin.


