Penuntut kolej didakwa bunuh pasangan suami isteri menunggang motosikal

SEORANG penuntut kolej didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri yang menunggang motosikal, awal bulan ini.

Danish Raman Kamar Kumaresan, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pemuda itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian A Doraisingam, 61, dan isterinya, A Menagah, 56, di Jalan Ampang dari arah KLCC ke Ampang Point pada jam 5.30 pagi, 2 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faizal Noor Hadi dan Mohd Sharizat Amadan, manakala tertuduh diwakili peguam Devinder Kaur Dhaliwal dan Mansheel Kaur.

Dalam kejadian berhampiran Hospital Gleneagles Ampang itu, motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit dipercayai dirempuh sebuah kereta dipercayai hilang kawalan.

Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal mangsa sehingga menyebabkan pasangan berkenaan maut akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, sampel darah serta air kencing sudah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img