POLIS Selangor menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah berskala besar membabitkan rampasan bunga ganja dan syabu bernilai RM17.8 juta menerusi beberapa serbuan di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ampang Jaya, awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi dijalankan antara 6 hingga 11 Mei lalu, seramai tujuh suspek termasuk seorang lelaki tempatan serta enam warga asing diberkas berusia antara 17 hingga 31 tahun.
Katanya, kejayaan itu hasil tindakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA serta Unit MPV Balai Polis Ampang Jaya.
“Secara keseluruhan, keempat-empat serbuan ini membawa kepada rampasan dadah jenis bunga ganja seberat 172.8 kilogram dan syabu seberat 79 kilogram. Jumlah keseluruhan rampasan adalah 251.8 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan sekitar RM17.8 juta.
“Hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Bagi suspek warga asing, mereka dipercayai menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini.
“Jumlah keseluruhan dadah jenis bunga ganja dan syabu yang dirampas dalam operasi ini dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 839,000 pengguna pada satu-satu masa berdasarkan anggaran 0.3 gram bagi setiap individu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, semua suspek direman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, suspek warga asing dipercayai menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini.
Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 839,000 penagih berdasarkan anggaran 0.3 gram bagi setiap individu.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan kewujudan sindiket pengedaran dadah berskala besar yang aktif dan terancang serta memberi ancaman serius kepada masyarakat.


