HARGA runcit bagi petrol RON97 naik 15 sen dari RM4.70 kepada RM4.85 seliter, manakala RON95 naik 20 sen dari RM3.87 kepada RM4.07 seliter untuk tempoh 21 hingga 27 Mei ini.
Diesel bagi Semenanjung Malaysia pula ditetapkan pada RM4.97 seliter, naik 10 sen berbanding RM4.87 pada 20 Mei.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, dalam keadaan pasaran global yang kekal tidak menentu, Kerajaan Madani meminta rakyat untuk terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara.
‘’Perancangan perjalanan harian juga dapat membantu penggunaan bahan api secara lebih cekap..Selaras formula ‘Automatic Pricing Mechanism’ (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 21 hingga 27 Mei ini, RON97 (RM4.85 seliter), RON95 (RM4.07 seliter) serta diesel untuk Semenanjung Malaysia (RM4.97 seliter).
“Kemelut geopolitik di Asia Barat berlarutan melebihi 11 minggu tanpa tanda penyelesaian dalam masa terdekat. Dengan konflik yang berpanjangan, tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum global semakin mendesak,’’ kata kenyataan itu.
“Harga minyak mentah Brent kini mencecah sekitar AS$110 setong, hampir 60 peratus lebih tinggi berbanding paras prakonflik sekitar AS$70 setong. Pada masa sama, kos logistik dan premium insurans turut meningkat ketara akibat risiko penghantaran melalui zon konflik, sekali gus memberi tekanan lanjut kepada harga produk petroleum,” kata MoF.
MoF memaklumkan, gangguan bekalan minyak global juga menjadi semakin meruncing apabila konflik terus berlarutan.
Tambahnya, Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia, manakala kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan.


