SEORANG pekerja binaan warga Indonesia maut selepas dihempap runtuhan konkrit ketika menjalankan kerja-kerja pembinaan di sebuah premis di Jalan Guar Perahu Indah di Bukit Mertajam hari ini.
Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan mangsa dikenali sebagai Marzuki dan berusia 27 tahun.

Menurut kenyataan itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.55 petang, sebelum lima anggota bersama sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti digerakkan ke lokasi.
“Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan operasi kemudian telah mengalihkan mangsa ke kawasan selamat, namun pekerja terbabit disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
PGO berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.05 petang.


