BEKAS Menteri Pertahanan Republik Indonesia (2014–2019) dan juga dianggap Panglima legenda Tentera Nasional Indonesia (TNI, Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu, meninggal dunia hari ini pada usia 75 tahun.
Ryamizard menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi Kardiovaskular (CICU) Hospital Gatot Soebroto, Jakarta Pusat, akibat penyakit yang dihidapi Allahyarham.
Ryamizard Ryacudu dilahirkan di Palembang pada 21 April 1950. Beliau membesar dalam persekitaran keluarga tentera; bapanya, Musannif Ryacudu, merupakan seorang pejuang kemerdekaan dan pegawai tinggi tentera yang mempunyai hubungan rapat dengan Soekarno.
Ryamizard Ryacudu dikenali sebagai salah seorang pegawai tinggi tentera yang legenda dengan kerjaya panjang dalam Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD). Kemuncak kerjaya ketenteraannya dicapai apabila beliau diberi kepercayaan menggalas amanah sebagai Ketua Staf Angkatan Darat (KSAD) bagi tempoh 2002 hingga 2005.
Selepas bersara daripada dunia ketenteraan, khidmat baktinya kepada negara diteruskan dalam bidang pemerintahan awam. Pada penggal pertama kepimpinan Presiden Joko Widodo, Allahyarham dilantik untuk memegang jawatan strategik dalam Kabinet Kerja sebagai Menteri Pertahanan Republik Indonesia, yang disandangnya dari 27 Oktober 2014 hingga 20 Oktober 2019.


