SEPASANG suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 19 Jalan Endau-Mersing di Mersing petang ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan kenderaan jenis Perodua Myvi, Toyota Innova dan Chery Omoda itu kira-kira jam 5.10 petang.

Menurut beliau, mangsa ialah Muhammad Firdaus Muhamad Bustaman, 24, dan Siti Nur Aisyah Anoor Beet Babjan Kahar, 23, yang beralamat di Taman Kota Masai, Pasir Gudang cedera parah pada beberapa bahagian badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dinaiki pasangan suami isteri itu menghala ke arah Mersing dikatakan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Innova dan Chery Omoda.

“Keadaan ketika kejadian itu berlaku hujan lebat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Abdul Razak berkata, pemandu Toyota Innova patah jari kaki kanan dan isterinya cedera ringan manakala pemandu Chery Omoda, seorang warga emas berusia 75 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sheral Anuar Mawarday dalam kenyataan berasingan berkata, Pasukan Keluaran Operasi berjaya mengeluarkan dua mangsa daripada kereta Perodua Myvi menggunakan peralatan khas.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


