Akta Keselamatan Sosial: Lebih 9 juta pekerja dilindungi 24 jam bermula hari ini

LEBIH  sembilan juta pencarum menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik dilindungi sepenuhnya daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata, skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan melalui pindaan akta berkenaan memperuntukkan jaringan perlindungan keselamatan sosial lebih meluas termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.

“Pelaksanaan skim bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini adalah secara automatik kepada semua pekerja formal  tanpa memerlukan sebarang pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.

“Bagi individu yang baru diambil bekerja dan melapor diri selepas 1 Jun 2026, majikan wajib mendaftarkan pekerja tersebut mengikut prosedur sedia ada melalui sistem Perkeso,” katanya dalam kenyataan.

Beliau  berkata, caruman LINDUNG 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji bagi maksud caruman iaitu RM6,000.

”Untuk permulaan kadar caruman bagi LINDUNG 24 Jam adalah 0.75 peratus daripada gaji bulanan, justeru majikan bertanggungjawab untuk menguruskan potongan gaji pekerja dan melaksanakan pembayaran caruman skim itu kepada Perkeso setiap bulan,’’ katanya.

Ramanan memberitahu, pembayaran caruman perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan perlindungan tanpa gangguan di samping memudahkan pematuhan oleh majikan dan pekerja.

“Menerusi skim LINDUNG 24 Jam, Perkeso memperuntukkan lapan faedah demi kelangsungan dan kebajikan pencarum, antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal serta Faedah Orang Tanggungan.

“Selain itu, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional atau Return To Work (RTW) serta Faedah Pendidikan bagi menyokong masa depan waris,” katanya.

Ramanan menyifatkan perluasan perlindungan itu selari dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta amalan terbaik antarabangsa dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img