Pekerja kedai serbaneka dalang samun tempat kerja sendiri

TINDAKAN seorang pekerja kedai serbaneka merancang samun di premis tempatnya bekerja bersama seorang rakan membawa padah apabila kedua-duanya diberkas polis tidak sampai 24 jam selepas kejadian di Kuala Sungai Baru, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika seorang jurujual berusia 18 tahun sedang bertugas di premis berkenaan.

Menurut beliau, mangsa berdepan detik cemas apabila didatangi seorang lelaki bersenjatakan parang dan memakai topi keledar yang mengacukan senjata tersebut ke arahnya.

“Mangsa sempat melarikan diri ke dalam stor sebelum melihat suspek mengambil wang tunai di kaunter pembayaran menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Suspek kemudian melarikan diri bersama seorang lagi rakannya berusia 19 tahun yang menunggu di pintu masuk premis,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal dan petunjuk yang diperoleh mendapati suspek utama berusia 23 tahun merupakan pekerja di kedai serbaneka terbabit.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai berjaya melarikan wang tunai dianggarkan RM1,000, namun wang tersebut ditemukan semula apabila pasukan forensik menjumpai satu sampul simpanan wang yang mengandungi wang berkenaan, dipercayai tercicir ketika mereka melarikan diri.

“Susulan siasatan, kedua-dua suspek berjaya ditahan polis untuk membantu siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu,” katanya.

Ahmad berkata, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat di Kompleks Mahkamah Alor Gajah dan mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari sehingga 9 Jun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img