SERAMAI tujuh lelaki akan dihadapkan ke Mahkamah Johor Bahru hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pemuda berusia 22 tahun yang maut ditetak di luar sebuah premis makanan dan minuman di Pekan Nanas, bulan lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 28 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Pontian dan Batu Pahat selepas siasatan dijalankan.
Menurut beliau, polis turut merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan termasuk kenderaan, pakaian, topeng muka serta senjata.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap dan motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada isu perekrutan ahli baharu kumpulan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, polis kini sedang giat mengesan lima lagi suspek yang masih bebas dan dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Hasil semakan mendapati enam daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah,” katanya.
Menurut Hoo, kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Johor semalam sebelum arahan pendakwaan diperoleh.
“Pendakwaan mengarahkan tujuh suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana melakukan perbuatan dengan niat bersama.
“Ketujuh-tujuh suspek itu akan didakwa manakala lima lagi suspek yang masih diburu polis akan turut berdepan pertuduhan selepas diberkas,” katanya.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
“Mereka yang tidak dijatuhi hukuman mati juga boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan,” katanya.
Dalam operasi sama, tiga lagi individu yang ditahan telah dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan.
Pada 21 Mei lalu, mangsa berusia 22 tahun ditemukan maut di luar sebuah kedai makan di Pekan Nanas selepas dipercayai diserang sekumpulan lelaki.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah pada kedua-dua tangan dan kaki selain beberapa kesan tetakan di badan yang dipercayai dilakukan di lokasi kejadian.


