Warga Indonesia didakwa bunuh juruteknik di pangsapuri

SEORANG penganggur warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang juruteknik di sebuah pangsapuri di bandar raya ini, bulan lalu.

Tertuduh, Fajar Ali, 29, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Mohammad Sallehen Mohd Safri, 33, di Prima Tebrau Residensi, Jalan Dato Sulaiman, kira-kira jam 7 pagi pada 12 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Nazman memohon supaya tiada jaminan diberikan memandangkan kesalahan yang dihadapi tertuduh adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Pada 14 Mei lalu, media melaporkan seorang juruteknik ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di sebuah unit pangsapuri di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, mangsa ditemui terbaring di dalam kediaman berkenaan kira-kira jam 10.50 malam.

“Hasil siasatan awal turut menemukan sebilah pisau di sisi mangsa yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Difahamkan, mangsa dan tertuduh baru berkenalan, manakala kejadian tersebut disedari selepas mangsa gagal hadir ke tempat kerja selama dua hari sebelum rakannya membuat pemeriksaan di kediamannya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img