Kes integriti: Beberapa pegawai kanan PDRM  dalam radar – Ayob Khan

BEBERAPA kes integriti melibatkan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) ke atas, kini dalam radar Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau menerima aduan awam berhubung perkara itu dan meminta agar kes berkenaan diadukan kepada IPCC.

Katanya, pegawai dan anggota polis kini tidak boleh fikir mereka hanya diperhatikan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memiliki agensi khusus memantau mereka.

“Sekarang ada dua atau tiga kes membabitkan pegawai tinggi dan saya sendiri akan mengikuti perkembangan kes berkenaan yang dikendalikan IPCC.

“Saya akan membuat susulan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran buku ‘Strengthening Integrity, Empowering The Nation: Integrity As The Foundation Of Leadership’, di Kuching, hari ini, lapor Buletin TV3.

Buku hasil tulisan Prof Datuk Dr Leonard Sabu itu dilancarkan bersama oleh Ayob Khan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Ayob Khan berkata, kewujudan IPCC membuktikan bahawa sebarang salah laku dalam pasukan polis khususnya membabitkan isu rasuah tidak lagi hanya ditangani menerusi saluran dalaman semata-mata.

“Jangan kita fikir apabila hanya ada JIPS sebagai badan dalaman, kita boleh selamat. Sekarang ada agensi lain di luar yang turut memantau dan memastikan tindakan diambil terhadap sebarang salah laku,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa isu integriti perlu ditangani secara teliti dan tegas bagi memastikan keyakinan masyarakat PDRM terus terpelihara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img