Apa dosa Fatimah… adakah anggota puak pemisah saja dianggap syahid?

FATIMAH Jangok adalah seorang guru di sebuah sekolah di Yarang, Pattani. Suaminya Sarjan Mejar Adun Sulung bertugas sebagai anggota polis di wilayah berkenaan.

 Pada 25 Mei lalu, kira-kira 48 jam sebelum takbir Aidiladha berkumandang, Fatimah yang menyusu anaknya Afrina berusia dua bulan terbujur kaku akibat tindakan kejam puak pemisah, Barisan Revolusi Nasional (BRN) melakukan serang hendap ke atas kereta dinaiki oleh Allahyarhamah Fatimah bersama suaminya, Adun.

 Dengan menyamar perempuan memakai purdah, empat pengganas yang menaiki dua buah motosikal melepaskan tembakan bertubi-tubi  ke arah kereta tersebut tanpa mempedulikan Fatimah yang sedang meriba bayinya. Fatimah terkulai meninggal dunia di tempat kejadian,  suami dan anaknya cedera.

 Tindakan ganas puak pemisah itu sama sekali tidak berperikemanusian dan tiada bezanya dengan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin. 

Kalau di Gaza wanita dan bayi dibunuh, apa bezanya tindakan BRN di Selatan Thailand?  Kenapa mereka tergamak melepaskan tembakan ke arah kereta yang mereka tahu di dalamnya ada wanita dan bayi? Di manakah jiwa kemanusiaan mereka? Apakah yang mereka capai dengan membunuh Fatimah dan mencederakan bayi serta suaminya? 

 Apa alasan yang mahu diberikan oleh BRN yang selama ini mendabik dada kononnya mereka berjuang demi masa depan umat Islam di wilayah itu? Apakah dengan menembak mati seorang guru yang tidak berdosa itu satu perjuangan? Apakah mencederakan bayi yang masih menyusu badan ibunya boleh dianggap jihad?

 Sudah pasti seperti alasan puak Zionis, BRN mereka akan menganggap apa yang menimpa Fatimah dan bayinya adalah  collateral damage atau kerosakan sampingan atau korban sampingan. Apakah ini perjuangan yang dibenarkan oleh Islam dengan menjadikan orang tidak berdosa sebagai mangsa?

 Kalaupun BRN akan memberi alasan sasaran utama adalah Arun bukan Fatimah tetapi adakah Islam membenarkan untuk mereka melakukan pembunuhan itu? Apa salah Arun? Apakah kerana ia bekerja dengan Pemerintah Thailand maka ‘darahnya dianggap halal’? Kitab mana BRN baca ? Fatwa siapa yang BRN rujuk?

 Kenapakah apabila puak-puak pemisah ditembak mati oleh pasukan Keselamatan Thailand seperti mana berlaku di Kabang, Yala pada 26 Mei lalu, individu itu dianggap syahid? Bagaimanakah BRN mentafsirkan istilah mati syahid? Apakah perjuangan songsang mereka untuk menggugat sebuah negara berdaulat dianggap syahid? Apakah menentang sebuah pemerintah bukan Islam yang tidak mengusir umat Islam keluar dari tanah air mereka dianggap jihad?

 Dalam kejadian 26 Mei itu, seorang anggota puak pemisah, Saidee Takenac ditembak mati oleh pasukan keselamatan selepas usaha memujuknya gagal apabila dia melepaskan tembakan ke arah pihak polis.

 Apakah Saidee yang mempunyai waran tangkap kerana didakwa terlibat melancarkan beberapa siri serangan keganasan di Yala sejak tahun 2019 lebih mulia daripada Fatimah -seorang guru di Sekolah Prasarn Witthaya Munnithi?

Apakah Saidee yang mengancam  nyawa insan tidak berdosa melalui perbuatannya lebih suci daripada Fatimah  yang mendidik anak bangsa untuk berjaya di dunia dan akhirat?

 Tidakkah BRN sedar bahawa tindakan terbaru mereka membunuh Fatimah, mencederakan suami dan bayi arwah telah membangkitkan kemarahan umat Islam di Selatan Thailand? Ia terbukti apabila umat Islam di daerah Yarang berkabung dan mengadakan solat hajat memohon keamanan kembali ke daerah itu. Mereka juga menunjukkan bantahan terhadap pembunuhan Fatimah dengan membawa sepanduk menentang sebarang keganasan.

 Berdasarkan keadaan itu, BRN perlu faham bahawa mereka semakin dibenci oleh penduduk Islam. Tindakan serangan yang membunuh Fatimah sama sekali tidak boleh diterima, apatah lagi akibat perbuatan jahat BRN itu – seorang bayi yang baru dua bulan dilahirkan kehilangan ibunya – tempat dia menghisap susu bagi menghilangkan lapar dan dahaga.

 Tetapi pemimpin BRN tidak ada naluri kemanusiaan itu, pemimpin BRN tidak ada perasaan simpati tersebut, pemimpin BRN sudah kemaruk dan mabuk untuk meneruskan perjuangan songsang mereka waima kalau terpaksa membunuh bayi di atas riba ibunya sekalipun! Patutlah selama ini perjuangan mereka gagal mencapai apa-apa termasuk rundingan pelan damai Selatan Thailand.

 Ia kerana perbuatan dan perjuangan mereka sama sekali tidak diredhai oleh Allah SWT. Mereka sanggup membunuh orang tidak berdosa dengan memperalatkan nama jihad. Selain itu pemimpin BRN hanya retorik dalam soal membela nasib umat Islam. Mereka berbohong bukan sahaja kepada penduduk Islam di wilayah berkenaan tetapi juga seluruh dunia kononnya umat Islam ditindas di Selatan Thailand. 

 Ketika mereka ‘membasahkan tangan mereka’ dengan darah insan-insan seperti Fatimah, bersikap hipokrit kononnya mahu mencipta damai melalui rundingan dengan pemerintah Thailand, pada masa sama mereka juga menjadi konflik berpanjangan di wilayah itu sebagai ‘modal’ untuk hidup mewah serta mendapat layanan VIP.

 Mereka hidup senang lenang di luar negara, mereka tidak pernah mahu kembali ke Selatan Thailand atas alasan keselamatan tetapi mereka sendiri yang menghancurkan keamanan dan kedamaian di Selatan Thailand.

Kalaulah dunia membenarkan BRN melakukan pembunuhan seperti mana mereka lakukan ke atas Fatimah. Percayalah sampai ke bilapun wilayah itu tidak akan aman, sebaliknya mereka akan menyaksikan ‘Zionis 2.0’ bermaharajalela.  Kalau BRN tidak mahu dianggap ‘Zionis ASEAN’, maka hentikan perjuangan sia-sia mereka dan tidak mengulangi Tragedi Fatimah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img