POLIS percaya pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) terlelap menjadi punca kemalangan yang meragut nyawa penumpang hadapan di Kilometer 341 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu-Kuantan, pukul 5.15 petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, SUV tersebut sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan selepas selesai menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Berang.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai telah terlelap semasa memandu menyebabkan kenderaan hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum melanggar pengadang besi jalan.
“Akibat pelanggaran tersebut, kenderaan berkenaan berpusing beberapa kali dan tersangkut pada pengadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.
“Seorang penumpang wanita berusia 57 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun, manakala pemandu dan tiga lagi penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Utusan Melayu Plus sebelum itu melaporkan, mangsa Maziah Che Hassan, 57 tahun yang duduk di tempat penumpang hadapan terputus peha kiri akibat tertusuk besi pengadang jalan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun pukul 7.15 petang.
Empat lagi mangsa masing-masing berumur 70, 65, 52 dan pemandu SUV berusia 29 tahun hanya cedera ringan.


