PENDAKI Jaslinda Saludin, 49, yang hilang sejak 15 hari lalu di Gunung Batu Putih ditemukan selamat jam 3 petang tadi.
Pengarah Datuk Sayani Saidon, berkata, mangsa ditemukan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh.
Katanya, Jaslinda ditemui seorang penduduk, Nazri Bah Eng sebelum dia memaklumkannya kepada anak saudaranya yang berada di Johor, untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Ketika ini, mangsa berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat.
“Bomba Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi, komuniti Orang Asli, sukarelawan serta orang awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha pencarian mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Tular di Facebook, memaparkan rakaman video dipercayai Jaslinda yang sedang menikmati mi segera, di sebuah rumah komuniti Orang Asli.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda diaktifkan 25 Mei susulan wanita itu hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Namun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada, 24 Mei (7.30 pagi).
Wanita itu juga dikatakan meninggalkan satu nota tulisan di atas tanah bagi membuktikan diua telah sampai di puncak Gunung Batu Putih.
Malim Gunung Perhutanan (MGP) Perak yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata beliau yang bertindak sebagai pengawal belakang atau sweeper bagi ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman itu, menyedari kewujudan nota di atas tanah berkenaan ketika tiba di puncak gunung.
Hafiz menjelaskan bahawa tulisan tertera “HAFIZ AMBIK GAMBAR AKAK DH SAMPAI” itu ditinggalkan mangsa berikutan telefon bimbit milik Jaslinda telah kehabisan bateri sejak pada peringkat awal pendakian lagi.


