‘’Jangan anggap rakyat itu hamba’’ – Anwar bidas amalan beratur panjang ambil bantuan

PENDEKATAN memaksa golongan memerlukan beratur panjang demi mendapatkan pengagihan bantuan kewangan  tidak sepatutnya berlaku lagi dalam era digital kini kerana tindakan itu seolah-olah tidak menghormati rakyat serta menyamai sistem lapuk ratusan tahun dahulu.

Sehubungan itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menegaskan, Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan beliau akan menamatkan amalan kuno yang merendahkan maruah rakyat.

“Saya tidak setuju kalau sekarang, tahun 2026, rakyat masih lagi perlu beratur (untuk terima bantuan). Ini bukan soal politik pilihan raya. Jangan anggap rakyat itu hamba …. Kita sekarang merdeka, berdaulat, rakyat ada harga, ada hak, ada kebebasan, ada semangat kemerdekaan,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor di Batu Pahat  malam tadi.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, Kerajaan MADANI kini mengutamakan kaedah penyaluran terus ke dalam akaun bank bagi memastikan kebajikan warganegara terpelihara dengan penuh hormat.

Sehubungan itu Anwar mempersoalkan keperluan mengekalkan kaedah lama sedangkan bantuan kewangan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan awal persekolahan kini boleh dikreditkan secara langsung.

Anwar berkata langkah memasukkan bantuan kewangan secara terus perlu dilaksanakan supaya tiada lagi pihak terpaksa beratur panjang untuk menerima bantuan, sekali gus mencerminkan keprihatinan tinggi kerajaan terhadap maruah rakyat.

Dalam ucapan itu juga Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan komited dalam memastikan keadilan pendidikan menerusi jaminan kemasukan ke program matrikulasi bagi semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa mengira latar belakang kaum.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi menghargai pencapaian cemerlang anak-anak tempatan, sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu berkenaan demi kepentingan politik sempit.

Menurut Anwar, keputusan memberikan jaminan tempat di matrikulasi kepada semua pelajar yang mendapat 10A tanpa mengira kaum telah dipersetujui secara bersama oleh semua wakil parti dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan platform politik untuk meniupkan sentimen perkauman yang boleh memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya memfokuskan usaha membina kecemerlangan pendidikan demi masa depan generasi muda negara.

Menyentuh mengenai kemunculan parti baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Anwar berkata semua pihak mempunyai hak untuk menubuhkan parti sebagai wadah dan landasan perjuangan politik mereka.

“Nak uji (sokongan) paling utama semasa pilihan raya. Parti banyak, tiap minggu ada parti baharu, masing-masing ada hak, tetapi saya nak tanya apa yang lain dan apa yang istimewa? Ini negara yang penuh cabaran (untuk ditadbir),” kata beliau.

Sehubungan dengan itu, katanya, rakyat diingatkan supaya menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menilai dan memilih kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat dan bukannya yang terlibat dengan amalan salah guna kuasa atau politik perkauman.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img