DUA pekerja sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM56,000 kepada seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mendapatkan maklumat operasi serbuan terhadap kegiatan perlombongan bitcoin.
Tertuduh, Lai Chung Lam dan Lee Chee Yong membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan utama, kedua-dua mereka berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana didakwa memberikan wang suapan kepada pegawai TNB terbabit.
Suapan berjumlah RM56,000 itu didakwa sebagai balasan untuk mendapatkan maklumat berkaitan operasi serbuan TNB terhadap kegiatan perlombongan bitcoin.
Mereka turut berdepan lima pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan kerana didakwa menawarkan jumlah wang yang sama sebagai ganjaran bagi memperoleh maklumat mengenai operasi serbuan berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bandar Sunway antara 28 Ogos 2020 hingga 10 Mei 2021.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan pula, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan mereka menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos depan untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.


