Mahasiswa di luar negara dituntut manfaat nilai positif masyarakat setempat – PM

MAHASISWA Malaysia di luar negara khususnya di Jepun disaran tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik, malah perlu memanfaatkan peluang menimba pengalaman serta nilai positif masyarakat setempat yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam bidang kemajuan teknologi misalnya, ia tidak boleh dipisahkan dengan etika dan kefahaman terhadap masyarakat.

Menurut beliau, mahasiswa perlu memahami bahawa pendidikan bukan hanya dibentuk melalui institusi pengajian tinggi semata-mata, malah turut dipengaruhi oleh masyarakat serta pengalaman sejarah sesebuah negara.

“Gunakan masa anda di sini dengan sebaik-baiknya kerana Jepun mempunyai banyak perkara yang boleh dipelajari dan ia juga akan mempengaruhi pemahaman kita mengenai konsep MADANI.

“Sebab itu kita turut menekankan aspek etika dan nilai kerana ia adalah antara teras utama MADANI. Nilai-nilai ini memerlukan kemanusiaan dan belas ihsan, namun pada masa sama kita mesti cemerlang dalam ekonomi moden, teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan mahasiswa Malaysia pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan khas bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin semasa melawat ke Universiti Tokyo dalam lawatan rasmi tiga hari ke Jepun, hari ini, lapor Buletin TV3.

Tambahnya, negara sahabat seperti Jepun mempunyai pelbagai perkara yang dapat dimanfaatkan dan peluang serta pendedahan itu perlu diambil sebaiknya.

Beliau berkata, kerajaan menaruh harapan tinggi agar graduan Malaysia di negara matahari terbit itu dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kita mempunyai ramai graduan Malaysia dari Jepun yang telah memberikan khidmat besar kepada negara.

“Mereka bukan sahaja membantu memenuhi keperluan industri baharu yang mempunyai kaitan dengan Jepun, malah turut menyumbang kepada pembangunan negara melalui pengalaman dan kefahaman yang diperoleh sepanjang berada di sini,” katanya.

Difahamkan, terdapat lebih 2,000 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Jepun.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany memaklumkan lawatan rasmi selama tiga hari Anwar ke Tokyo ini juga diadakan menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun pada tahun depan.

Ia sekali gus menjadi platform penting untuk memperkukuhkan lagi kerjasama yang telah terjalin sejak sekian lama.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img