MESYUARAT Ahli Parlimen Pembangkang malam ini membincangkan persiapan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ahli Parlimen Larut yang juga pengasas Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, mesyuarat juga bersetuju bahawa setiap Ahli Parlimen akan turun membantu calon dalam kedua-dua PRN itu.
“Maklum sahaja lah di Johor sudah pun ada ketetapan maka kita nak tentukan bagaimana caranya untuk kita pastikan kemenangan calon-calon kita begitu juga di Negeri Sembilan.
“Jadi semua perbincangan itu memerlukan rakan-rakan terutama Ahli Parlimen turun membantu calon-calon kita itu kita bincangkan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu, lapor Buletin TV3.
Mengulas mengenai pendaftaran Parti Wawasan Negara, Hamzah menjelaskan, ia tidak membabitkan pendaftaran parti baharu, sebaliknya dilakukan menerusi pengambilalihan sebuah parti sedia ada sebelum namanya ditukar.
“Saya ambil alih parti. Nama dia kita tukar,” katanya lagi sambil memberitahu perkara itu tidak berbangkit.
Terdahulu, Hamzah bersama 16 lagi Ahli Parlimen yang mengikuti Gerakan RESET Malaysia antara yang hadir dalam mesyuarat bersama Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang yang berlangsung hampir dua jam di ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengesahkan mesyuarat malam ini tidak membincangkan penyingkiran Bersatu daripada PN.
“Isu nak keluarkan Bersatu dalam PN tidak dibincangkan. Kita bincang kedudukan Ketua Pembangkang, hala tuju PRN, soal tukar kedudukan kerusi dalam Parlimen tidak dibincang lagi, semua setuju Hamzah Zainudin kekal Ketua Pembangkang,” tambahnya, lapor FMT.
Rosol turut memaklumkan bahawa mesyuarat membincangkan persiapan untuk pembukaan Parlimen. Menurut takwim Parlimen, mesyuarat kedua bagi penggal ke-5 Parlimen ke-15 akan bersidang mulai 22 Jun sehingga 16 Julai depan.

Mesyuarat malam ini menjadi perhatian di sebalik desas-desus bahawa perbincangan akan menyentuh kedudukan Bersatu dalam PN. Nasib parti itu menjadi persoalan, susulan terhentinya kerjasama politik dengan Pas.
Selain wakil rakyat Pas dan Rosol, turut hadir pada mesyuarat Ahli Parlimen Pembangkang malam ini adalah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin).
Seorang pemimpin Pas yang tidak mahu dinamakan menolak dakwaan mesyuarat itu akan menentukan kedudukan Bersatu dalam PN, memandangkan hal itu memerlukan keputusan bersama parti komponen, maka ia akan dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi gabungan.






