KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penjualan barangan berjenama disyaki tiruan menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dengan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM600,000.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi dijalankan Bahagian Penguat Kuasa Putrajaya hasil risikan dan pemantauan selama sebulan terhadap peniaga yang dipercayai menjalankan aktiviti jualan di pasar raya utama selain disyaki menjadi pembekal kepada peniaga lain.
Menurutnya, ketiga-tiga premis yang diserbu menawarkan pelbagai jenis barangan berjenama yang menggunakan cap dagangan beberapa jenama terkenal tanpa kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar.
“Hasil pemeriksaan dan pengesahan awal oleh wakil pengadu mendapati terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 telah dilakukan.
“Kesalahan itu membabitkan pemilikan, jagaan atau kawalan barang bagi tujuan perdagangan yang cap dagangannya dipakaikan secara salah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan serbuan menyita pelbagai jenis barangan dipercayai menggunakan cap dagangan palsu termasuk pakaian, beg tangan, dompet, tali pinggang, minyak wangi serta dokumen perniagaan berkaitan.
Dalam operasi sama, empat individu tempatan terdiri daripada pemilik dan penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai terbabit dalam pengurusan operasi perniagaan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, individu boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga lima tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan pertama dan meningkat kepada RM30,000 bagi kesalahan berikutnya.
Azman berkata, KPDN akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan kerana ia melanggar hak harta intelek serta boleh mengelirukan pengguna.





