SENNE LAMMENS menikmati perlawanan impian bersama Manchester United dan menerima tepukan gemuruh atas persembahan yang mengagumkan.
Selepas dipantau lebih setahun, Manchester United akhirnya menandatangani bintang muda dari Antwerp itu dengan harga £18.2 juta pada hari terakhir jendela perpindahan, susulan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh Altay Bayındır dan Andre Onana pada permulaan musim ini.
Malah, Lammens pernah dikritik oleh legenda kelab itu sendiri. Dalam temu bual bersama SunSport, Peter Schmeichel berkata bekas kelab Lammens telah menandatangani penjaga gol yang salah malah dia mengaku tidak pernah mendengar namanya.
Schmeichel berkata: “Lammens mungkin menjadi pembelian terbaik suatu hari nanti tetapi buat masa ini, ia kelihatan seperti satu pertaruhan, dan itu bukan sesuatu yang United perlukan ketika ini.”
Namun, selepas kekalahan 3-1 di tangan Brentford pada minggu lalu, pengurus Ruben Amorim merasakan inilah masa yang sesuai untuk memberikan peluang pertama kepada penjaga gol Belgium itu menentang pasukan Sunderland yang sedang berada dalam prestasi terbaik.
United menang 2-0, sekali gus mengurangkan tekanan ke atas Amorim. Dan Lammens berjaya menenangkan penyokong di Old Trafford, dengan perlawanan yang jauh lebih tenang daripada biasa.

Gol daripada Mason Mount dan Benjamin Šesko (gol pertama di tempat sendiri) membolehkan Lammens menikmati 40 minit pembukaan yang agak tenang. Namun, dia kemudian berjaya menepis keluar rembatan Granit Xhaka.
Penjaga gol sebelum ini mungkin terperangkap dengan situasi itu, tetapi Lammens menunjukkan ketangkasan dan keyakinan. Tidak lama selepas itu, dia menerima tepukan gemuruh daripada 70,000 penyokong apabila keluar dengan yakin untuk menangkap hantaran silang dari Sunderland.
Untuk sekian lama, penyokong United hilang kepercayaan terhadap Bayındır dan Onana kerana kegagalan mereka mengawal kawasan kotak penalti. Kini, mereka lega melihat penjaga gol yang benar-benar menguasai kawasannya, dengan Onana kini dipinjamkan ke Trabzonspor.
Lammens kelihatan vokal, tenang, dan mahir menggunakan kedua-dua belah kaki, dan nampaknya sukar digugurkan daripada kesebelasan utama, terutama menjelang pertemuan dengan Liverpool di Anfield selepas rehat antarabangsa.
Amorim berkata: “Dia nampak yakin, tetapi perkara paling penting ialah rakan sepasukannya membantu dia bermain dengan baik. Semua orang fokus, kurang buat kesilapan.’’


