‘’Tangan kami diikat berjam-jam, berpanas, terpaksa minum air tandas’’ – Heliza

“Kami diikat tangan ke belakang selama berjam-jam, berpanas dan langsung tidak diberi makan atau minum. Kali terakhir kami minum ialah pada 1 Oktober. Selepas itu, bila kami minta air, mereka biarkan. Akhirnya kami terpaksa minum air tandas,”

Demikian didedahkan oleh Aktivis Kemanusiaan Heliza Helmi yang ditahan bersama 22 lagi aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) minggu lalu.

Heliza menyifatkan, pengalaman itu sebagai bukti nyata kekejaman rejim Zionis terhadap aktivis yang hanya membawa misi kemanusiaan.

“Kami diserang dengan water cannon hingga kapal kami hampir tenggelam. Kapal kami kecil, jadi setiap hentaman membuatkan ia bergoyang kuat… tapi kapten kami terus bersemangat, siap kira jarak ke Gaza sebab niat kami hanya satu iaitu nak sampai kepada saudara-saudara kami di sana,” katanya kepada Astro Awani di Istanbul.

Heliza turut berkongsi detik sebelum dimasukkan ke penjara, apabila disoal dengan sinis oleh tentera Israel tentang sebab mereka ke Gaza.

“Dia tanya saya, ‘kenapa kamu ke Gaza?’ Saya jawab, ‘untuk beri bantuan makanan.’ Dia pandang saya dan jawab, ‘welcome to jail.’ Saat itu saya sedar, inilah realiti rakyat Palestin, mereka tidak bersalah, tapi tetap dipenjara dan dibunuh,” katanya.

Heliza berkata, walaupun berdepan penyeksaan, semangat solidariti daripada rakan aktivis antarabangsa memberi kekuatan untuk terus bertahan.

Adiknya, Hazwani pula berkata, , tentera Israel menyiarkan lagu provokatif melalui radio dengan lirik berbunyi ‘Many more will have to suffer, many more will have to die’, bertujuan menakut-nakutkan sebelum menyerang mereka.

“Mereka mainkan lagu itu berulang kali. Tapi kami tak gentar. Seluruh flotilla itu penuh semangat. Ada peserta dari Colombia, Sweden dan banyak lagi negara. Semua kuat,” katanya.

Di dalam penjara, katanya, para aktivis, Muslim dan bukan Muslim, saling memberi kekuatan. Malah, ramai warga emas berusia lebih 70 tahun tetap teguh berjuang.

“Ada yang berumur 78 tahun, kaki patah pun masih bersemangat. Mereka kata, ‘We will return back.’ Kita yang muda rasa malu kalau tak kuat,” katanya.

Sebelum dibebaskan, semua tahanan dari pelbagai negara bersatu melaungkan solidariti untuk Palestin.

“Kami jerit sama-sama, walaupun tentera bersenjata berdiri di depan kami. Kami laung ‘Free Palestine!’ dan ‘From the river to the sea!’ sampai bergema seluruh sel,” katanya dengan bangga.

Hazwani turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan Turkiye atas usaha pembebasan mereka, serta berkongsi momen menyentuh hati apabila seorang aktivis asing memeluk Islam sebelum berlepas pulang.

“Semasa naik kapal terbang balik, kami semua menangis. Seorang aktivis masuk Islam pagi itu sebelum penerbangan berlepas. Itulah kemenangan sebenar, Islam dan kemanusiaan bersatu,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img