Mahkamah perintah professor dan adik jalani hukuman penjara tiga tahun denda RM904,475

Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini, memerintahkan seorang bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas mengembalikan sabitan terhadapnya atas kesalahan menyalah guna jawatan untuk meluluskan syarikat milik adik bagi membekalkan pelbagai barangan kepada universiti itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu terhadap Prof Badaruddin Mohamed, 60.

Mahkamah juga membuat keputusan sama terhadap adiknya, Mustafa Kamal, 54, atas kesalahan bersubahat dengan abangnya itu.

Mohamed Zaini yang bersidang bersama Hakim Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, turut mengekalkan hukuman denda berjumlah RM807,475 (bagi setiap responden) yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap Badaruddin dan Mustafa Kamal.

Mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lalu yang membebaskan kedua-dua responden.

Justeru dengan keputusan itu, sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dikembalikan.

“Hukuman penjara berkuat kuasa hari ini, dan kami dengan ini mengarahkan waran pemenjaraan dikeluarkan hari ini terhadap kedua-dua responden,” kata Mohamed Zaini ketika menyampaikan penghakiman.

Mohamed Zaini berkata, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf ketika memutuskan bahawa hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila tidak menyatakan anggapan statutori bawah Subseksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 terpakai ketika memanggil responden-responden untuk membela diri.

Beliau berkata, anggapan statutori berkenaan perlu dibaca bersama Subseksyen 23(1) dan terpakai secara automatik apabila pertuduhan dibuat ke atas seseorang bawah peruntukan itu.

Katanya, mahkamah juga telah meneliti dan mempertimbangkan alasan penghakiman serta hujahan pihak peguam, dan berpendapat penilaian serta dapatan fakta oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah kukuh dan tidak wajar diganggu.

Mohamed Zaini berkata, mahkamah mendapati sabitan oleh Mahkamah Sesyen itu adalah selamat untuk dikekalkan.

Pada 19 Ogos 2022, Mahkamah Sesyen mendapati Badaruddin bersalah atas sembilan pertuduhan berkaitan salah guna jawatan.

Dia dihukum penjara selama tiga tahun dan denda RM807,475 atau penjara 36 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan menyalah guna jawatannya ketika itu sebagai Pengarah Pejabat Komunikasi Strategik USM untuk meluluskan syarikat milik adiknya, Syarikat MK Urusniaga (M) Sdn Bhd, sebagai pembekal barangan dan cenderahati bernilai RM153,793 kepada Pejabat Komunikasi Strategik USM antara 22 September 2011 dan 23 November 2012, lapor Bernama.

Bagi dua lagi pertuduhan, Badaruddin didakwa menggunakan jawatannya ketika itu sebagai Ketua Sustainable Tourism Research Cluster USM untuk meluluskan syarikat milik adiknya itu sebagai pembekal 30 unit ‘souvenirs glass’ bernilai RM3,450 dan biometrik pejabat bernilai RM2,920 kepada Pejabat Sustainable Tourism Research Cluster USM antara 5 September 2011 dan 14 Mei 2012.

Bagi semua pertuduhan itu, Badaruddin didakwa mengikut Subseksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan dihukum bawah Subseksyen 24(1) akta sama.

Mustafa Kamal pula disabitkan bersubahat dengan abangnya mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Mahkamah Sesyen turut mengenakan hukuman penjara dan denda yang sama terhadapnya.

Bagaimanapun pada 2 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan kedua-dua mereka selepas mengetepikan sabitan oleh Mahkamah Sesyen.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusof Khan, berhujah bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membebaskan responden hanya kerana Mahkamah Sesyen tidak menyatakan secara jelas pemakaian anggapan statutori bawah Subseksyen 23(2), sedangkan undang-undang tidak mewajibkan berbuat demikian.

Farah Ezlin dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, Noor Azura Zulkiflee dan Maziah Mohaide.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img