POLIS menahan pemandu kereta yang dipercayai melarikan diri selepas terlibat dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Tun Razak di ibu negara awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa seorang lelaki berusia 29 tahun yang menunggang motosikal jenis 135LC, di lorong kiri ketika melalui bangunan TH Selborn menghala ke Bulatan Pahang, meninggal dunia akibat dilanggar dari belakang oleh BMW dipandu suspek.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, akibat pelanggaran itu mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan (MA), Hospital Kuala Lumpur manakala pemandu kenderaan terbabit bertindak meninggalkan lokasi tanpa berhenti memberikan bantuan.
“Hasil siasatan lanjut, polis berjaya mengesan kenderaan yang dipercayai terbabit dan mendapati ia adalah sebuah kenderaan sambung bayar yang digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu terbabit, lelaki tempatan berusia 30 tahun tampil secara sukarela ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 6.30 petang bagi membantu siasatan.
“Suspek kemudian ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum menjalani ujian pernafasan alkohol serta saringan awal air kencing. Hasil keputusan kedua-dua ujian didapati negatif,” katanya.
Katanya, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya esok bagi tujuan pertuduhan di mahkamah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






