Greta Thunberg akui didera tetapi anggap isu kecil…mahu dunia beri perhatian kepada pembunuhan beramai-ramai di Gaza

“Saya boleh bercakap lama mengenai layanan buruk dan penderaan yang kami alami dalam penjara – percayalah. Tetapi itu bukan isu utama. Biar saya jelaskan – satu pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di depan mata kita, disiarkan secara langsung,’’ – Greta Thunberg.

Aktivis iklim terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, buat pertama kali bersuara secara terbuka selepas dibebaskan dari penjara Israel. Dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Anadolu, Thunberg mendakwa beliau telah dipukul dan dipaksa mencium bendera Israel semasa dalam tahanan.

Bagaimanapun dalam ucapannya, Thunberg menegaskan bahawa pengalamannya sendiri bukanlah perkara yang paling penting.

“Saya boleh bercakap lama mengenai layanan buruk dan penderaan yang kami alami dalam penjara – percayalah. Tetapi itu bukan isu utama. Biar saya jelaskan – satu pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di depan mata kita, disiarkan secara langsung,’’ katanya ketika tiba  di Lapangan Terbang Eleftherios Venizelos di Athens.

Thunberg berkata bahawa tiada siapa berhak mengatakan mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku dan pada masa hadapan, tiada siapa boleh berkata mereka tidak menyedari kekejaman ini.

Beliau menuduh Israel meneruskan pembunuhan dan kemusnahan besar-besaran, dengan niat jelas untuk “menghapuskan seluruh populasi dan bangsa”.

“Kita tidak boleh alihkan pandangan dari Gaza, dan juga dari tempat-tempat lain di dunia yang menderita di barisan hadapan sistem dunia yang tidak adil ini – Congo, Sudan, Afghanistan, Gaza, dan banyak lagi. Apa yang kami lakukan hanyalah usaha minimum,’’ katanya.

Beliau menutup ucapannya dengan satu luahan emosi:“Saya tidak akan pernah faham bagaimana manusia boleh menjadi sebegitu kejam. Bahawa kamu sanggup membiarkan berjuta-juta manusia kebuluran, terperangkap di bawah sekatan haram, sebagai kesinambungan kepada penindasan dan dasar apartheid selama berdekad-dekad.”

Thunberg merupakan antara 171 orang yang dihantar pulang oleh pihak berkuasa Israel selepas ditahan kerana menyertai flotila bantuan ke Gaza. Selepas dibebaskan, kumpulan itu telah diterbangkan ke Greece dan Slovakia.

Ketibaan Thunberg dan para aktivis lain di Greece disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada para penyokong yang menunggu di Lapangan Terbang Eleftherios Venizelos di Athens.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img