ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) terbabit kes rogol yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan berkenaan.
“(Dakwaan tular berkenaan) sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Terdahulu, tular dalam platform Threads beberapa hantaran yang mendakwa seorang anggota TDM merogol seorang wanita sehingga mangsa melahirkan anak, malah turut mendakwa pihak kem tidak memberi kerjasama dan menghalang mangsa membuat laporan polis.
Hantaran turut mendedahkan nama anggota dan pegawai, nama kem serta gambar mereka berpakaian seragam, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.






