
WALAUPUN dikatakan berhadapan cabaran sengit daripada Pakatan Harapan (PH) namun Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin ‘gelombang biru’ kini melanda negeri selatan tanah air itu.
Dengan penuh keyakinan, Onn Hafiz yang akan mempertahan kerusi DUN Machap berkata, wujud ‘gelombang biru’ yang disifatkan perkembangan positif untuk BN.
Beliau melahirkan keyakinan itu berdasarkan sambutan yang positif sepanjang tempoh berkempen.
“Saya lihat suasana di Johor ini menunjukkan satu gelombang biru. “Insya-Allah kita akan menang di Johor,” katanya ketika berucap di Kampung Perak, Simpang Renggam.
PRN Johor merupakan ujian pertama kepada Onn Hafiz yang dilantik Menteri Besar Johor pada 15 Mac 2022 selepas BN menang selesa 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
Kemenangan itu dicapai dalam PRN yang diadakan pada 12 Mac 2022 dan ketika itu BN diketuai oleh Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar.
Pertarungan kali ini agak menarik memandangkan BN dan PH bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan tetapi di Johor tidak wujud Kerajaan Perpaduan manakala dalam PRN tersebut, kedua-dua gabungan itu bertanding berasingan.
Seperti juga BN, PH bertanding di kesemua 56 kerusi dan daripada jumlah itu mereka akan bertembung dalam pertandingan satu lawan satu di 17 kerusi.
Turut bertanding ialah Perikatan Nasional (PN) bersaing di 33 DUN iaitu Bersatu 16 kerusi, Pas (11 kerusi), MIPP (5 kerusi) dan Pejuang (1 kerusi).
Manakala Parti Bersama Malaysia bertanding 15 kerusi, Muda 4 kerusi dan Parti Sosialis Malaysia (1 kerusi).






