CECAIR ganja dan ketamin yang dipercayai diproses untuk digunakan dalam peranti rokok elektronik atau vape antara dadah bernilai lebih RM2.08 juta yang dilupuskan Polis Kontinjen Negeri Sembilan hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, semua eksibit yang dilupuskan adalah hasil rampasan dalam pelbagai operasi sebelum ini selepas prosiding mahkamah selesai.
Beliau berkata, pelupusan itu membabitkan kes di semua daerah di Negeri Sembilan.
“Antara dadah yang dilupuskan ialah heroin sebanyak 7,795.57 gram, ganja (4,890.52 gram), syabu (13,280.07 gram) dan ketamin (2,120.16 gram).
“Turut dilupuskan ialah cecair vape mengandungi ketamin sebanyak 75.56 liter, cecair ganja (15.50 mililiter) dan cecair ketamin (0.01 mililiter),” katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Dadah di Seremban, hari ini.
Menurutnya, keseluruhan pelupusan membabitkan 2,184 kertas siasatan dari tahun 2001 hingga 2026 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.08 juta.
Katanya, polis turut melupuskan alatan pemprosesan dadah yang dirampas dalam kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di daerah Port Dickson dan Rembau.
Mengulas lanjut, Alzafny berkata, sebahagian dadah yang dirampas diproses dalam bentuk cecair sebelum digunakan menerusi katrij vape atau dicampurkan ke dalam jus vape.
“Kebanyakan cecair ini adalah untuk tujuan pemprosesan bagi menghasilkan produk akhir sama ada dalam bentuk cecair atau pil sebelum digunakan melalui katrij vape atau dimasukkan ke dalam jus,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan menahan 3,642 individu sepanjang Januari hingga Jun lalu.
Katanya, seramai 626 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengedar dadah, meningkat 13 peratus atau 71 orang berbanding 555 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 97 orang ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, manakala 36 lagi ditahan mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952.
“Kebanyakan mereka merupakan dalang, perancang dan pembiaya sindiket yang berjaya ditumpaskan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, bagi kes memiliki dadah pula, seramai 1,204 individu ditahan, meningkat 11 peratus berbanding 1,083 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Hasil tangkapan bagi kes pengedaran dan pemilikan ini menghasilkan rampasan dadah bernilai RM19.4 juta dengan syabu, ganja dan ketamin merupakan dadah yang paling banyak dirampas di Negeri Sembilan sepanjang tahun ini,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 3,213 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun, dengan 1,868 daripadanya telah dituduh di mahkamah.
“Bagi sitaan harta pengedar dadah, tindakan mengikut Akta Perlucuthakan Harta 1988 turut diambil membabitkan aset bernilai kira-kira RM1.1 juta,” katanya.






