DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat ulang tahun ke-101 kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan menerusi hantaran dalam Facebook turut mendoakan supaya Dr Mahathir terus dilimpahi rahmat Allah SWT.

“Semoga Tun terus dilimpahi rahmat, kesihatan yang baik dan berada dalam keberkatan-Nya, insya-Allah,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Perdana Menteri turut memuat naik dua gambar iaitu Tun M ketika menjalani rawatan dan gambar lama beliau bersama Tun M dan Tun Mohd Khalil Yaakob.
Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi dilahirkan di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925.
Bagaimanapun, bapanya mendaftarkan tarikh lahir dalam sijil kelahiran pada 20 Disember bagi memudahkan urusan pendaftaran persekolahan.
Bekas Presiden UMNO dan Bersatu itu juga muncul sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Malaysia dan menyandang jawatan berkenaan sebanyak dua kali.
Beliau pertama kali berkhidmat sebagai Perdana Menteri Keempat antara 1981 hingga 2003, sebelum dilantik semula ke jawatan itu pada 2018 hingga 2020.
Selepas bersara, Dr Mahathir kekal sebagai tokoh politik aktif, termasuk mengkritik dasar diperkenalkan pengganti beliau, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menggunakan nama timangan ‘Che Det’ sebagai nama pena, beliau banyak menulis artikel, termasuk yang disiarkan di akhbar, selain membawa banyak pembangunan melalui dasar dan perancangan diilhamkan daripada kejayaan negara luar ketika pentadbirannya.
Dr Mahathir juga berjaya mengangkat Malaysia sebagai antara negara berdaya maju di Asia Tenggara ke pentas dunia.
Antara projek mega dibangunkan ketika pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Koridor Raya Multimedia, Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.
Dr Mahathir juga menyatakan hasrat untuk Malaysia melalui Wawasan 2020, iaitu visi negara mencapai status ekonomi maju pada 2020, bukan hanya dari segi pertumbuhan ekonomi tetapi turut merangkumi pendidikan, kematangan masyarakat dan tadbir urus.






