SEORANG pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memberikan tiga jenis dadah kepada diri sendiri pada Selasa lalu.
Shanorbiah Shamsir Alam, 40, atau lebih dikenali sebagai Tisha Shamsir membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Berdasarkan pertuduhan, Shanorbiah didakwa melalui ujian air kencing didapati memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin ke dalam badan sendiri di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 7.30 pagi, Selasa lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama dalam akta sama.
Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.
Tertuduh kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan dan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman (YBGK), Nik Azhar Nik Adib.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nurainna Maryam Norazman yang menawarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Peguam tertuduh meminta pengurangan ikat jamin dengan alasan wanita terbabit bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu, sudah berpisah dengan suami selain perlu menanggung ibu bapa warga emas.
Selain itu katanya, sebelum ini tertuduh sudah diberikan jaminan polis dan dia hadir sendiri di mahkamah hari ini serta tiada risiko melarikan diri.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Oktober depan.
Terdahulu, pelakon terbabit yang memakai pakaian serba hitam dan memakai pelitup muka tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada jam 8.49 pagi dengan diiringi pengawal peribadi.






