Remaja perempuan tikam rakan didakwa cubaan membunuh, dirujuk ke Hospital Bahagia

SEORANG remaja perempuan yang didakwa terlibat dalam kejadian tikam di sebuah sekolah menengah pada Isnin lalu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh di Mahkamah Majistret Telok Datok di Banting hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas suspek hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat.

REMAJA perempuan berusia 15 tahun (tengah) dikawal anggota polis sebaik sahaja tiba untuk menghadapi pertuduhan cubaan membunuh rakannya, di Mahkamah Majistret Telok Datok Banting hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Mahkamah kemudian memerintahkan remaja berusia 15 tahun itu dirujuk ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta di Perak bagi menjalani penilaian selama sebulan.

Perintah itu dibuat selepas permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan mengambil kira mangsa dalam kes berkenaan merupakan orang kurang upaya (OKU).

Turut hadir dalam prosiding itu ialah ibu kepada suspek.

Mengikut pertuduhan, pelajar tingkatan tiga terbabit didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap mangsa menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan dengan niat menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah menengah di Banting pada jam 9.50 pagi, 6 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid, manakala suspek diwakili peguam namun identitinya tidak dikenal pasti kerana mengelak daripada bertemu media.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Memetik laporan media, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sekolah ketika waktu rehat.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi Isnin lalu itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini menerima rawatan di hospital.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img