KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan hari ini membebaskan sepenuhnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta amat melegakan Ahli Parlimen Muar tersebut.
Pada sidang media selepas keputusan itu, ahli politik berusia 33 tahun itu meluahkan perasaan dan mendedahkan perasaan selepas enam tahun menempuh proses undang-undang tersebut.
Bagaimana perasaan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan membebaskan YB?
SYED SADDIQ: Manusia boleh merancang, Allah SWT yang menentukan. Di sebalik setiap ujian, cabaran dan rintangan, pasti ada sebab mengapa ujian itu diberikan. Sejak enam tahun lalu, ketika siasatan bermula lagi, saya tidak tunduk, tidak takut, tidak menggunakan jalan pintas dan tidak meminta layanan istimewa kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar. Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar dan hari ini prinsip itu membawa saya ke sini.
Keputusan hari ini mengingatkan saya betapa pentingnya kita mempertahankan kebebasan institusi kehakiman. Apabila badan kehakiman bebas dan adil, di situlah tempat terakhir rakyat biasa yang tidak mempunyai kuasa mendapatkan pembelaan. Ini bukan sekadar kemenangan saya, tetapi kemenangan kepada institusi keadilan negara.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa saya, keluarga, pasukan peguam, penyokong dan juga tunang saya yang sentiasa setia bersama sepanjang tempoh enam tahun ini.
Bukan mudah untuk melalui semua ini, lebih-lebih lagi ketika saya masih berstatus sebagai orang yang disabitkan kesalahan sebelum dibebaskan di Mahkamah Rayuan. Saya tidak akan melupakan pengorbanan dan sokongan mereka.
Ada komen mengenai kehidupan peribadi selepas ini?
SYED SADDIQ: Ayah dan ibu sudah memberi isyarat yang positif, tetapi saya tidak mahu mengulas lanjut kerana menghormati institusi kehakiman. Saya tidak mahu fokus diberikan kepada kehidupan peribadi saya. Saya mahu perhatian diberikan kepada kepentingan mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Apakah perancangan politik selepas ini?
SYED SADDIQ: Saya masih bersama MUDA dan tidak pernah meninggalkan parti itu. Mengenai perancangan politik, saya akan mengambil sedikit masa untuk bersama keluarga dan menyusun semula kehidupan peribadi. Namun semangat untuk membantu membina semula Malaysia tidak akan pernah padam.
Saya juga amat terhutang budi kepada warga Muar yang terus memberi kepercayaan kepada saya walaupun ketika saya sedang menghadapi perbicaraan. Saya akan terus mencari jalan membela nasib dan kebajikan mereka. Saya juga bercadang mengadakan majlis kesyukuran bersama penduduk Muar dalam masa terdekat.
Apa harapan YB selepas melalui pengalaman ini?
SYED SADDIQ : Harapan saya, tiada siapa lagi, termasuk musuh politik saya sekalipun, perlu melalui apa yang saya lalui. Walaupun kita berbeza fahaman politik, akhirnya kita semua rakyat Malaysia yang mahu melihat negara ini menjadi lebih baik untuk generasi akan datang.






