Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, memberi amaran kepada kepimpinan partinya agar tidak terlalu menekan kumpulan yang sedang disiasat oleh lembaga disiplin ketika ini kerana boleh membawa “reaksi” yang tidak diingini daripada mereka.
Memetik laporan Malaysiakini, Wan Saiful berkata, pihaknya tahu ada watak tertentu menghubungi parti lawan – atau parti dalam kerajaan – untuk berbincang sesuatu.
Malah, dakwa Wan Saiful, kumpulannya juga tahu ada individu yang memperoleh wang sehingga berjuta-juta ringgit daripada pihak lain di luar Bersatu.
“Tapi kita tak dedahkan setakat ini, cuma janganlah ‘tolak’ kuat sangat sebab takut nanti ada reaksi,” katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin Bersatu di pekarangan ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.
Wan Saiful yang juga bekas Ketua Penerangan parti berkenaan berkata demikian sebagai mengulas dakwaan penglibatan individu tertentu dalam kemelut semasa partinya kini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful turut mendedahkan bahawa beliau pernah dipujuk untuk menyertai pihak lawan pada tahun lalu dan ia sudah didedahkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum ini.
Katanya beliau menyerahkan pelbagai bukti termasuk berupa rakaman, gambar, dan audio.
“Mereka (jawatankuasa terbabit) mendapati saya tidak menyebut apa-apa yang mengelirukan mereka. Maksudnya benda-benda semua itu berlaku. Kalau sekiranya saya nak dapat tawaran apa-apa daripada individu terbabit, lagi baik saya ambil tahun lepas. Ada juga tawarannya betul,” katanya.
Bagaimanapun Wan Saiful berkata dia menolak tawaran meninggalkan Bersatu kerana masih sayangkan parti berkenaan.
Sementara itu, mengulas prosiding yang dijalankan hari ini, Wan Saiful berkata, sesi tersebut berlangsung secara ringkas dan beliau menyampaikan pandangan berkaitan prosedur serta tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
“Saya cuba elak daripada jawab secara terperinci. Kita bukan macam beberapa orang lain yang tabur cerita seluruh Malaysia. Kita sayang parti, jadi kita jaga,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Saiful turut menyelar tindakan sesetengah pihak dalam parti yang didakwa menggunakan media sosial dan strategi ‘hitam’ (black ops) untuk menyerang sesama ahli Bersatu.
“Kita berbeza. Kita ikut proses. Kita tak main serang guna media atau media sosial,” katanya lagi.
Mengulas mengenai tuduhan yang dikenakan ke atasnya, Wan Saiful berkata, antara perkara yang dibangkitkan termasuk kritikannya terhadap Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang menurutnya telah disalah tafsir sebagai serangan terhadap parti secara keseluruhan.


