KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk menggantikan sistem pengelasan isi rumah B40, M40 dan T20 dengan kerangka Pendapatan Boleh Guna Bersih (Net Disposable Income – NDI).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, konsep NDI yang mengambil kira beban kewangan sebenar, perbezaan kos sara hidup serta faktor demografi boleh dijadikan asas pengagihan bantuan bagi mengurangkan risiko golongan yang layak tercicir, selain lebih adil.
“Kerajaan sedang mempertimbangkan kaedah yang lebih inklusif dan saksama dalam menentukan kumpulan sasar, termasuk penggunaan kaedah Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI).
“Konsep ini boleh dijadikan asas dalam menentukan pengagihan bantuan bagi mengurangkan risiko keciciran, selain lebih adil dengan mengambil kira aspek kehidupan yang wajar, perbezaan mengikut lokasi dan demografi isi rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanya sama ada kerajaan menjalankan kajian terperinci terhadap klasifikasi pendapatan isi rumah memandangkan definisi sedia ada tidak lagi mencerminkan keadaan sebenar kehidupan rakyat.
Akmal Nasrullah menjelaskan, di bawah kerangka NDI, pendapatan kasar terlebih dahulu akan ditolak dengan potongan berkanun seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Perkeso, cukai pendapatan dan zakat bagi memperoleh Pendapatan Boleh Guna.
Jumlah itu kemudian akan ditolak pula dengan perbelanjaan asas yang diperlukan untuk mengekalkan taraf kehidupan yang munasabah, manakala baki yang diperoleh ialah NDI, iaitu pendapatan sebenar yang boleh digunakan oleh isi rumah untuk simpanan atau perbelanjaan lain.
“NDI adalah pendapatan sebenar yang tersedia kepada isi rumah untuk simpanan atau perbelanjaan lain,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan masih mengekalkan klasifikasi B40, M40 dan T20 bagi tujuan pengagihan bantuan serta analisis sosioekonomi, namun semakan itu bertujuan melengkapkan sistem sedia ada supaya lebih mencerminkan beban kewangan sebenar isi rumah dan bukan bergantung semata-mata kepada pendapatan kasar.
Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 8 Oktober 2025, beliau berkata, ambang pendapatan T20 kini meningkat kepada RM12,680 dan ke atas, berbanding RM11,820 dan ke atas pada 2022.
Beliau berkata, ambang pendapatan bagi kumpulan satu peratus tertinggi (T1) pula ialah melebihi RM40,195, termasuk isi rumah yang memperoleh pendapatan RM100,000 dan ke atas.
Akmal Nasrullah memberitahu, semakan klasifikasi pendapatan itu memerlukan kajian lanjut serta data isi rumah yang lengkap bagi memastikan pelaksanaannya berkesan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
Kata beliau, Kementerian Ekonomi ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi meneroka projek perintis yang bersesuaian.





