MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati bekas Timbalan Pengarah Urusan WCT Bhd (WCT), Goh Chin Liong dan Pengarah Ara Holdings Sdn Bhd, Leong Ah Chai bertanggungjawab atas kesalahan dagangan orang dalam.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mahkamah turut mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2022 yang mengarahkan kedua-dua defendan membayar sejumlah RM5.83 juta kepada SC berhubung pelanggaran tersebut.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Leonard David Shim dan Datuk Aliza Sulaiman sebulat suara menolak rayuan kedua-dua defendan serta memerintahkan mereka membayar kos rayuan sebanyak RM100,000 setiap seorang.
Mahkamah berpendapat tiada sebarang kesilapan dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang mewajarkan campur tangan di peringkat rayuan.
Mahkamah turut mengekalkan perintah supaya Chin Liong dan Ah Chai masing-masing membayar RM2,542,184.70 sebagai pemulangan keuntungan atau kerugian yang berjaya dielakkan, penalti sivil sebanyak RM300,000 serta kos RM75,000 kepada SC.
Dalam saman yang difailkan pada 2015, SC mendakwa Chin Liong, 67, dan Ah Chai, 66, melanggar Seksyen 188(2) dan 188(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) berkaitan dagangan orang dalam.
Menurut SC, keterangan yang dikemukakan menunjukkan Chin Liong telah menyampaikan maklumat material yang belum didedahkan kepada umum kepada Leong berhubung pembatalan kontrak cadangan pembinaan sebuah litar lumba di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kontrak itu sebelum ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh WCT dan Arabtec Construction LLC.
Susulan maklumat itu, Ah Chai kemudiannya menjual sebanyak 1.64 juta saham WCT melalui akaun dagangan Ara Holdings antara 2 hingga 5 Januari 2009.
Pada 26 Mei 2026, SC turut berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan perintah garnisi terhadap Chin Liong dan Ah Chai, sekali gus membolehkan suruhanjaya itu menguatkuasakan kutipan jumlah penghakiman RM5.83 juta susulan pelanggaran undang-undang dagangan orang dalam oleh kedua-dua defendan.
Susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, SC akan meneruskan tindakan selanjutnya bagi mendapatkan semula jumlah penghakiman tersebut daripada kedua-dua defendan.






