PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump hari ini mengumumkan Israel dan Hamas bersetuju dengan Fasa Pertama Pelan Damai.
Melalui akuan Truth Social beliau, Trump berkata, ia bermakan semua tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan menarik balik tentera mereka ke garisan yang telah dipersetujui.
‘’Sebagai langkah pertama ke arah keamanan yang kukuh, berkekalan dan Abadi. Semua pihak akan dilayan dengan adil! Ini adalah HARI YANG HEBAT untuk Dunia Arab dan Islam, Israel, semua Negara Sekitar, dan Amerika Syarikat, ‘’ katanya.
Trump turut mengucapkan terima kasih kepada perantara dari Qatar, Mesir, dan Turki yang telah bekerjasama untuk menjayakan ‘Peristiwa Bersejarah dan Tidak Pernah Berlaku Sebelumnya ini.’
Portal ArabNews melaporkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, dijangka menghadiri mesyuarat menteri pada hari Khamis di Paris bersama negara-negara Eropah, Arab, dan lain-lain untuk membincangkan peralihan pasca-perang Gaza, menurut tiga sumber diplomatik pada hari Rabu.
Mesyuarat itu, yang akan diadakan selari dengan rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas di Mesir mengenai pelan Gaza oleh Trump, bertujuan untuk membincangkan bagaimana pelan itu akan dilaksanakan serta menilai komitmen kolektif negara-negara terhadap proses tersebut.
Menurut satu nota yang dihantar kepada para delegasi, mesyuarat ini merupakan susulan kepada persidangan mengenai “penyelesaian dua negara” di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bertujuan untuk menyepakati tindakan bersama bagi menyokong pelan AS untuk Gaza. Penyelesaian dua negara itu akan melibatkan penubuhan negara Palestin merdeka yang wujud bersama Israel.
Negara-negara yang dijangka hadir mesyuarat itu termasuk Perancis, Britain, Jerman, Itali, Sepanyol, Kanada, dan beberapa negara serantau lain.
SEMENTARA ITU, HAMAS mengesahkan telah mencapai persetujuan untuk fasa pertama tersebut dengan mensyaratkan perang di Gaza dihentikan, pengunduran Israel, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pertukaran tahanan.
”Kami amat menghargai usaha usaha saudara pengantara kita di Qatar, Mesir, dan Turki. Kami juga menghargai usaha Presiden AS Donald Trump, yang berusaha membawa pengakhiran pasti kepada perang dan pengunduran penuh penjajahan dari Jalur Gaza,” kata Hamas dalam kenyataan di media sosial Telegram milik pergerakan itu.
Sehubungan itu, Hamas meminta Trump, negara-negara penjamin, dan pelbagai pihak Arab, Islam, dan antarabangsa untuk memaksa Israel melaksanakan sepenuhnya keperluan perjanjian itudan tidak membiarkannya mengelak atau menangguh pelaksanaan apa yang telah dipersetujui.
‘’Kami menegaskan bahawa pengorbanan rakyat kami tidak akan sia-sia, dan bahawa kami akan tetap setia kepada ikrar kami dan tidak akan meninggalkan hak kebangsaan rakyat kami untuk mencapai kebebasan, kemerdekaan, dan penentuan nasib sendiri’’ kata Hamas.


