BERSATU akan meletakkan calon-calon parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan semua calonnya akan menggunakan simbol Bersatu.
Ia merupakan antara perkara yang diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang bermesyuarat pada malam ini.
Berikutan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddi Yassin selepas mesyuarat tersebut:
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Dewan Negeri, Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung pada 12 Julai 2026 terpaksa ditangguhkan kerana Pas mengambil pendirian untuk mengadakan kerjasama politik dengan Barisan Nasional.
Bersatu berpendirian bahawa perkara ini mesti dibincangkan dan dipersetujui oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional terlebih dahulu kerana ia melibatkan dasar dan hala tuju parti yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Tertinggi.
Malangnya, sehingga kini Majlis Tertinggi Perikatan Nasional tidak dipanggil bermesyuarat dan Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN juga ditangguhkan tanpa ada tarikh baharu yang ditetapkan untuk memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota PN.
Kegagalan Pengerusi PN memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk menentukan dasar dan hala tuju parti pada saat genting ketika PN sedang menghadapi PRN Negeri Sembilan adalah amat dikesali dan bercanggah dengan Perlembagaan PN.
Mengambil kira kedudukan ini, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang bermesyuarat pada malam ini telah membuat ketetapan-ketetapan berikut:
*Bersatu merakamkan rasa kesal terhadap tindakan Pas mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan semua parti anggota PN dan tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN.
*Bersatu melahirkan rasa kecewa dengan keputusan-keputusan unilateral Pas yang bertentangan dengan kepentingan PN.
Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan Pas untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN dan jelas bertentangan dengan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang menawarkan alternatif kepada BN dan PH.
Oleh kerana Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi Perikatan Nasional telah ditangguhkan bagi tempoh masa yang tidak pasti, dan Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN, Bersatu akan meletakkan calon-calon Bersatu bertanding dalam PRN Negeri Sembilan dan semua calon Bersatu akan menggunakan simbol Bersatu.
Bersatu juga mengambil maklum hasrat beberapa buah parti politik yang ingin menggunakan simbol Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan.
Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah meneliti perkara ini dan bersetuju untuk memberikan mandat kepada Presiden Bersatu untuk memberikan kebenaran kepada calon dari parti-parti lain untuk menggunakan simbol Bersatu.
PN yang dipimpin oleh Pas telah menyimpang dari matlamat dan dasar perjuangan PN, yang antara lain, mempertahankan ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum, agama, kelas sosial dan wilayah.
Kenyataan-kenyataan pemimpin Pas mutakhir ini mengundang kesangsian rakyat, terutamanya anak-anak muda, mengenai komitmen PN untuk terus mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan agama yang stabil, aman dan harmoni.
Bersatu sebagai sebuah parti pribumi yang inklusif mendukung nilai-nilai Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan ciri-ciri kepelbagaian kaum, agama, budaya dan adat resam yang selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Ini penting untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil, makmur dan harmoni.
Justeru, Bersatu mengambil pendirian untuk kekal sederhana dan progresif serta memperjuangkan dasar-dasar yang menyokong kemajuan ekonomi dan prihatin terhadap kebajikan rakyat.
Dengan iltizam untuk menawarkan khidmat yang terbaik kepada rakyat di Negeri Sembilan, saya dengan ini menyeru semua pengundi Negeri Sembilan untuk menyokong dan mengundi calon-calon Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan.






