SEORANG penunggang motosikal cedera selepas terlanggar sebuah lori ketika cuba memotong melalui bahu jalan di Jalan Bangi Lama, Kajang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.42 petang dan membabitkan sebuah lori serta motosikal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki tempatan berusia 54 tahun dari Bandar Bukit Mahkota, Bangi menghala ke Setia Alam Sari.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan dipercayai mengelak sebuah lori lain yang datang dari arah bertentangan.
“Keadaan itu menyebabkan berlaku perlanggaran dengan motosikal yang ditunggang lelaki tempatan berusia 58 tahun ketika mangsa sedang memotong melalui bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan pada muka dan pipi.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan dan kini dirawat di Zon Kuning,” katanya.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kemalangan.
“Jika sabit kesalahan, pemandu boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.





