SEORANG lelaki dipercayai dibaham buaya ketika sedang mencuci bot bersama anaknya di sungai berhampiran Kampung Batu Putih, di Kinabatangan, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Rusli Mardin, 57, dipercayai dibaham reptilia berkenaan sebelum hilang daripada pandangan anaknya yang berusia 19 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.
Katanya, berdasarkan maklumat anak mangsa, bapanya dipercayai dibaham buaya sebelum hilang daripada pandangan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi di lokasi menggunakan kaedah pencarian di atas permukaan air.
“Bagaimanapun, kita terpaksa menangguhkan operasi pada jam 8.45 malam kerana keadaan yang semakin gelap di lokasi menyukarkan operasi pencarian,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Suriyadi berkata, operasi pencarian akan disambung hari ini dan sebarang perkembangan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.






