KERAJAAN tidak boleh menurunkan harga minyak sewenang-wenangnya, mengambil kira negara ketika ini menanggung subsidi petrol dan diesel berjumlah RM40 bilion setahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan segelintir pihak bahawa harga petrol boleh diturunkan sehingga 50 sen seliter adalah tidak realistik berdasarkan keadaan pasaran semasa.
“Saya tengok dalam media sosial orang kata, Anwar tak turun harga minyak. Saya pun tidak faham. Ada yang kata, harga sepatutnya turun sehingga 50 sen. Ketika cadangan itu dibuat dahulu, harga petrol di Arab Saudi sekitar 50 sen seliter.
“Sekarang di Arab Saudi pun harganya sekitar RM2.40 hingga RM2.50 seliter walaupun mereka antara pengeluar petroleum terbesar dunia,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Perdana Menteri berkata demikian pada sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor (UIS) di Kajang, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Naib Canselor UIS, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.
Menurut Anwar, Malaysia masih mengimport hampir 50 peratus keperluan petroleum negara, namun kerajaan tetap mampu mengekalkan harga petrol pada kadar RM1.90 seliter menerusi pemberian subsidi yang besar.
“Setiap kali saudara mengisi minyak, terdapat suntikan subsidi daripada kerajaan. Keseluruhannya mencecah RM40 bilion setahun untuk petrol dan diesel. Orang boleh kata suruh turunkan lagi harga minyak, tetapi siapa yang hendak membayarnya?,” katanya.
Untuk rekod, harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik lima sen dan 10 sen seliter bagi tempoh 16 hingga 22 Julai, susulan peningkatan risiko geopolitik di Asia Barat.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan minggu lalu memaklumkan harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM3.42 seliter berbanding RM3.37 sebelum ini, manakala diesel tanpa subsidi meningkat kepada RM4.07 seliter daripada RM3.97 seliter.
Harga runcit RON97 pula kekal pada RM4 seliter.






