Wang simpanan hampir RM6 juta milik pesara lesap diperdaya sindiket ‘phone scam’

Wang simpanan berjumlah hampir RM6 juta milik seorang pesara swasta lesap selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 73 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu kononnya pegawai NFCC Putrajaya dan mendakwa mangsa disyaki terbabit kes pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu mendakwa sebagai pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pula, dan diminta mengisytiharkan semua harta serta simpanan miliknya.

“Suspek mendakwa tindakan itu kononnya bagi membantu siasatan terhadap aktiviti pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shazeli berkata, sekitar Jun lalu, mangsa diarahkan membuka empat akaun bank berbeza dan memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun terbabit.

“Suspek turut mengarahkan mangsa memasukkan semua kad ATM miliknya ke dalam satu sampul surat dan meninggalkannya di padang permainan di USJ 22/1, selain memberi maklumat perbankan peribadinya kepada mereka.

“Mangsa yang berasa curiga kemudian memaklumkan perkara itu kepada anaknya sebelum menyedari diri menjadi mangsa penipuan lalu tampil membuat laporan polis di Subang Jaya,” katanya.

Shazeli berkata, mangsa mengalami kerugian besar apabila wang simpanannya berjumlah RM5,996,586.51 lesap akibat tipu helah sindiket terbabit, dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

‘’ kes itu membuktikan sindiket penipuan terus menyasarkan individu warga emas dengan menyamar sebagai penjawat awam bagi memperdayakan mangsa.

“Polis menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali, dan tidak mudah mempercayai mana-mana pihak yang mendakwa daripada agensi kerajaan.

“Pihak berkuasa tidak pernah menguruskan sebarang urusan rasmi melalui panggilan telefon atau mesej, sebaliknya semua transaksi hanya dibuat secara fizikal di balai polis atau pejabat kerajaan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img