UGUTAN lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) tidak akan mengubah pendirian Malaysia untuk terus menghalang kemasukan warga Israel ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hak Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat yang bebas menentukan dasar sendiri.
Menurut beliau, larangan terhadap warga Israel bukanlah dasar baharu, sebaliknya telah diamalkan negara sejak puluhan tahun lalu.
“Beberapa Ahli Parlimen Amerika telah membuat kenyataan menyelar saya kerana keputusan Malaysia menyekat kemasukan rakyat Israel ke dalam syarikat-syarikat dan sebagainya.
“Ia tidak menghalang… dia (Ahli Kongres AS) boleh membuat ugutan, tetapi saya akan tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat rakyat Malaysia untuk tetap menghalang kehadiran mana-mana warga Israel di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban, hari ini.
Anwar berkata, Ahli Kongres berkenaan dilihat tidak memahami pendirian Malaysia yang konsisten berhubung isu Israel dan Palestin.
“Ternyata mereka tidak mengikuti perkembangan. Banyak negara turut mengenakan larangan, manakala Malaysia sudah melaksanakannya sejak puluhan tahun lalu.
“Mereka menggunakan kesempatan sekarang untuk mengugut Malaysia dan meminta Kerajaan AS mengambil tindakan,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa pendiriannya bersifat antisemitisme, beliau menegaskan Malaysia mempunyai asas kukuh untuk mengecam kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
“Mana mungkin wakil rakyat negara mereka boleh memadam kenyataan mengenai pembunuhan anak-anak dan rakyat, wanita, kemusnahan rumah, menakluk negeri, dan tidak mampu bercakap apa-apa.
“Malaysia ini negara merdeka… kalau pun mereka yang bercakap itu tidak merdeka, tidak bebas menyuarakan, kita bebas menyuarakan,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada isu itu boleh menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-AS, Anwar berkata, beliau tidak melihat perkara itu akan memberi kesan kepada hubungan kedua-dua negara.
“AS sedia maklum dasar Malaysia ini sudah diamalkan sejak puluhan tahun. Kita masih menerima baik rakyat Amerika, selain terus menjalinkan hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama dengan AS.
“Namun, mustahil untuk kita berdiam diri terhadap pembunuhan rakyat yang tidak bersalah, termasuk di Palestin dan Gaza,” katanya.






