‘’Saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan atau menyebarkan’’
Itulah reaksi tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kerajaan sedia mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) kepada umum.
Bagaimanapun beliau berkata, ia tertakluk kepada semakan proses yang perlu dilalui termasuk merujuk kepada Jemaah Menteri.
Anwar berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, sama ada laporan berkenaan boleh didedahkan segera bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.
“Kalau kita lakukan terlalu awal, mungkin menimbulkan keresahan kepada pencarum dan penyimpan. Sekarang, saya rasa Tabung Haji telah bertapak dengan baik dan saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan atau menyebarkannya.
“Sebab laporan ini, rakyat ada hak untuk mengetahui. Pertama, saya akan teliti dengan Ketua Setiausaha Negara sama ada prosesnya itu harus dirujuk kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu. Kalau tidak perlu, saya akan terbitkan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada kepada media selepas melancarkan Wacana Global Ekonomi Manusiawi di Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, yang berkata cadangan mendedahkan laporan akhir RCI TH kepada umum akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Menurut Dr Zulkifli berkata, perkara itu susulan kekeliruan dan dakwaan berkaitan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Ditanya adakan laporan itu akan didedahkan secara keseluruhan, Anwar berkata keputusan untuk menerbitkannya sebenarnya sudah dibuat sebelum ini, namun terdapat peringatan supaya penambahbaikan pengurusan TH dilakukan terlebih dahulu.
Anwar berkata, ketika itu terdapat banyak pelanggaran peraturan dan penyalahgunaan besar yang berlaku, namun kebimbangan utama kerajaan adalah berkaitan simpanan pendeposit TH.
“Apabila laporan ini dibentangkan kepada kami, kami telah memutuskan untuk menerbitkannya. Tetapi kemudian kami diberi peringatan kerana pada masa itu terdapat keperluan untuk menambah baik pengurusan dan memperbetulkan beberapa ketidakaturan yang berlaku.
“Saya rasa, sudah tentu terdapat banyak pelanggaran peraturan dan saya tidak boleh mengatakan ia sebagai rasuah, tetapi terdapat penyalahgunaan yang besar. Kebimbangan kami pada masa itu adalah terhadap simpanan Tabung Haji,” katanya lagi.
Bagaimanapun kata beliau, keadaan Tabung Haji kini jauh lebih baik hasil usaha pemulihan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.






