SEKURANG-kurangnya 13 orang termasuk lapan anggota polis terbunuh manakala 22 lagi cedera dalam serangan bom bunuh diri berhampiran sebuah balai polis ketika berlangsungnya demonstrasi di daerah Swat, utara Pakistan, semalam.
Menurut polis, letupan berlaku di persimpangan yang sesak berhampiran sebuah balai polis ketika tunjuk perasaan oleh masyarakat awam berlangsung.
“Seramai 13 orang termasuk lapan anggota polis terbunuh dalam serangan bom bunuh diri itu,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Swat, Fida Hussain, lapor AFP.
Beliau berkata, seramai 22 orang cedera manakala satu lagi mayat yang dipercayai milik pengebom dibawa ke hospital.
“Seorang pengebom bunuh diri cuba memasuki balai polis yang terletak di kawasan persimpangan itu, namun dihalang polis di pintu utama,” katanya.
Serangan berkenaan berlaku di wilayah sempadan utara Pakistan, Khyber Pakhtunkhwa, yang menyaksikan pihak berkuasa berdepan peningkatan kegiatan pemberontakan oleh kumpulan Tehreek-i-Taliban Pakistan (TTP).
Tiada kumpulan setakat ini mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Dalam kejadian berasingan di ibu negeri wilayah itu, Peshawar, satu letupan bom buatan sendiri mencederakan empat anggota polis.
Ketua polis bandar itu berkata, serangan berkenaan didakwa dilakukan oleh TTP.
Jurucakap tentera Pakistan memaklumkan pada Jumaat bahawa serangan militan serta operasi susulan menyebabkan 819 anggota keselamatan dan orang awam terbunuh sepanjang tahun ini.
Pakistan sebelum ini menuduh keganasan di wilayah sempadannya berpunca daripada aktiviti militan yang datang dari Afghanistan.
Bagaimanapun, kerajaan Taliban di Kabul menafikan dakwaan terbabit.






