SEORANG peniaga minuman melecur hampir 50 peratus di seluruh anggota badan selepas sebuah tong gas di rumahnya meletup dalam kebakaran di Lorong Bakap Permai 9, Sungai Bakap di Nibong Tebal petang tadi.
Mangsa, Tan Chin Long, 58, ditemukan dalam keadaan panik dan bersembunyi di bawah meja makan ketika pihaknya tiba di lokasi pada 2.51 petang, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Shukor Fadzil berkata, mangsa yang masih bujang tinggal di rumah itu seorang diri ketika kejadian.
“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari bilik tidur dan kemungkinan bahang api itu menyebabkan tong gas yang berada di dapur meletup.
“Setakat ini tiada kesan menunjukkan mangsa sedang memasak ketika kejadian berlaku dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Mohd Shukor, rumah teres kelas A tersebut dianggarkan musnah kira-kira 50 peratus manakala rumah jirannya di sebelah kiri rosak 10 peratus.
Beliau berkata, pihaknya berdepan cabaran memadamkan kebakaran berikutan longgokan barang dan perabot yang banyak di dalam rumah.
“Bagaimanapun api berjaya dikawal dalam tempoh sembilan minit. Difahamkan, jiran yang tinggal di belakang rumah mangsa ternampak api menyambar di kawasan dapur dan turut membantu memadam kebakaran sementara bomba tiba.
“Namun mereka tidak berjaya dan dikejutkan pula dengan bunyi letupan tong gas,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa, N Karnagaran, 59, mendakwa, dia terdengar bunyi letupan sebanyak dua kali dan terasa gegaran disebabkan agak kuat.
“Letupan itu sangat kuat, kami ingatkan bunyi bom dan macam dekat sangat dengan rumah saya. Saya sudah kumpulkan dokumen penting dan bersiap untuk keluarkan kereta ketika itu. Namun saya lega apabila dapat tahu bomba sudah dapat mengawal kebakaran,” katanya.






