SEORANG lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan kerana cuba menyeludup pelbagai jenis dadah, termasuk kira-kira 8,646 gram ganja dan 1,569 gram methamphetamine (Ice) menggunakan sebuah kereta berdaftar di Malaysia yang memasuki Singapura melalui Woodlands Checkpoint.
Dalam satu kenyataan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura memaklumkan bahawa pada pagi 1 Ogos lalu, pegawai agensi itu mengarahkan kenderaan tersebut menjalani pemeriksaan lanjut sebelum menemui sebuah kotak di ruang but yang mengandungi dua bungkusan bahan dipercayai dadah terkawal.
‘’Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura kemudian dipanggil ke lokasi dan menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas suspek serta kenderaan itu. Hasil pemeriksaan menemukan lebih banyak dadah di dalam ruang but. Secara keseluruhan, pihak berkuasa merampas kira-kira 8,646 gram ganja dan 1,569 gram methamphetamine (Ice),’’ katanya ICA.
Menurut CNB, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih S$361,000 (kira-kira RM1.2 juta) dan berpotensi membekalkan kepada sekitar 2,132 penagih selama seminggu.
‘’Siasatan masih dijalankan. Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 Singapura, individu yang mengimport atau mengeksport lebih daripada 250 gram methamphetamine atau 500 gram ganja boleh berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan,’’ kata ICA
ICA menegaskan agensi itu akan terus bekerjasama rapat dengan CNB bagi menggagalkan cubaan menyeludup dadah merentasi sempadan Singapura.






