Ismail Sabri dimasukkan ke IJN, prosiding pertuduhan mungkin di hospital

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), sekali gus membuka kemungkinan prosiding pertuduhan dijalankan di hospital berkenaan.

Menurut sumber, sama ada pertuduhan akan diteruskan di IJN bergantung kepada nasihat doktor yang merawat Ahli Parlimen Bera itu.

“Semuanya bergantung kepada nasihat doktor,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, satu lagi sumber yang rapat dengan Ismail Sabri mengesahkan bekas Perdana Menteri itu telah dimasukkan ke IJN.

Menurut sumber berkenaan, permohonan bagi membolehkan prosiding pertuduhan dijalankan di IJN dijangka dikemukakan oleh pihak pendakwaan, namun keputusan muktamad terletak di tangan hakim.

“Maklumat terkini yang saya terima, pengakuan tertuduh berkemungkinan direkodkan di IJN. Kami belum pasti mengenai masanya. Buat masa ini, Timbalan Pendakwa Raya perlu mengemukakan permohonan dan hakim akan membuat keputusan sama ada ia dibenarkan atau tidak,” katanya.

Sejak awal pagi tadi, petugas media mula berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur serta di pekarangan IJN bagi mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Semakan dalam sistem mahkamah menunjukkan pertuduhan terhadap Ismail Sabri dijadualkan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi.

Berdasarkan laporan sebelum ini, kes berkenaan dipercayai berkaitan isu pengisytiharan harta.

Sebelum ini, Ismail Sabri telah beberapa kali dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan berkaitan pengisytiharan hartanya.

Dalam siasatan itu, SPRM turut menyita wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah RM170 juta serta 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta hasil serbuan di beberapa premis susulan penahanan empat bekas pegawai kanannya pada Februari 2025.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img