Marah harga minyak naik, ‘’buat-buat’ lupa bila harga turun?

SUARA RAKYAT

SAYA  tertarik melihat begitu banyak kecaman dan kemarahan netizen selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel tanpa subsidi pada 19 Ogos lalu.

Ada yang terus salahkan kerajaan, seolah-olah Malaysia ini sebuah negara pengeluar minyak terbesar yang ada kuasa tentu harga minyak dunia.  Naik turun harga minyak perlu dilihat dan dikaji secara rasional bukan emosional apatah lagi dicemari dengan sentimen politik.

Sebagai seorang pesara yang pernah terlibat dalam industri minyak, saya tahu harga minyak bukan bergerak mengikut kehendak mana-mana kerajaan. Ia dipengaruhi pasaran global dan faktor geopolitik.

Dalam pengumuman terbaru, Kementerian Kewangan menjelaskan kenaikan itu berlaku berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM) susulan peningkatan harga minyak mentah dunia.

Kita sedang berdepan konflik yang berlarutan di Asia Barat, ketegangan di sekitar Selat Hormuz serta konflik Rusia-Ukraine yang memberi tekanan kepada bekalan petroleum dunia. Selagi keadaan geopolitik tidak stabil, harga minyak memang boleh turun naik.

Jadi, apabila harga naik 10, 15 atau 20 sen, mengapa kita terus marah dan mengecam kerajaan? Apabila harga turun, adakah kita juga turun ke media sosial untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan? Atau kita hanya bising apabila harga naik, tetapi diam apabila harga turun? Inilah yang perlu kita fikirkan.

Lebih penting, kenaikan harga yang diumumkan itu adalah bagi petrol dan diesel tanpa subsidi. Bagi rakyat yang layak, harga BUDI95 kekal RM1.99 seliter, manakala BUDI Diesel kekal RM2.10 seliter. Kerajaan juga menanggung subsidi RM1.78 bagi setiap liter RON95 BUDI95 dan RM2.57 bagi setiap liter diesel BUDI Diesel.

Ini bermakna kerajaan masih menyerap sebahagian besar kenaikan harga pasaran bagi golongan yang layak. Sudah tentu rakyat berhak bersuara kerana kenaikan kos bahan api boleh memberi kesan kepada kos sara hidup. Kerajaan juga tidak boleh mengambil mudah keresahan rakyat.

Tetapi kritikan biarlah berasaskan fakta, bukan semata-mata kemarahan. Kalau harga minyak dunia naik kerana perang, adakah kita mahu kerajaan Malaysia menanggung keseluruhan kenaikan itu tanpa had?

Dan kalau kerajaan terus menambah subsidi setiap kali harga minyak dunia melonjak, bukankah akhirnya wang itu datang daripada poket rakyat juga melalui kewangan negara?

Kita perlu memahami bahawa kerajaan bukan pencipta harga minyak dunia. Kerajaan hanya boleh menentukan berapa banyak kesan kenaikan itu yang mahu ditanggung oleh rakyat dan berapa banyak yang diserap melalui subsidi

Dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu, pendekatan subsidi bersasar sekurang-kurangnya memberikan perlindungan kepada golongan yang benar-benar layak.

Jadi, sebelum kita terlalu cepat mengecam setiap pengumuman kenaikan harga minyak mingguan, mungkin kita perlu bertanya satu soalan mudah:

“Adakah kita marah kerana kerajaan menaikkan harga, atau kerana kita tidak faham mengapa harga itu naik?”  Fikir tak kenapa pula, bila harga minyak dunia turun, kita terima manfaatnya ? Tak kan minda segelintir kita ‘hanya bertindak balas’ bila harga naik?

Peliknya masa harga minyak dunia naik, kita marah kerajaan tetapi bila kerajaan turunkan harga… terus ‘buat-buat lupa’ . Bukankah itu sekadar memilih untuk melihat satu sisi sahaja?

Rakyat berhak menuntut kerajaan bertanggungjawab. Tetapi rakyat juga perlu bersikap adil. Dalam isu harga minyak, tidak semua perkara berada dalam tangan kerajaan.

Yang boleh kita tuntut ialah kerajaan memastikan subsidi sampai kepada yang layak, kenaikan dikawal sebaik mungkin dan rakyat diberikan penjelasan yang telus.

Selebihnya, perang, Selat Hormuz, bekalan minyak dunia dan harga pasaran antarabangsa bukan sesuatu yang boleh dikawal dari Putrajaya. Jangan kerana harga naik minggu ini, kita lupa bahawa harga minyak juga boleh turun pada minggu yang lain.

Orang Pencen,

Melaka



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here