Pemimpin pelik ketuai banyak negara – Dr.Mahathir

Oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad

SAYA mahu mengulas mengenai apa yang sedang berlaku di Malaysia dan dunia pada hari ini. Namun, saya mendapati perkara itu amat sukar untuk dilakukan.

Terlalu banyak perkara pelik sedang berlaku dan kebanyakannya tidak baik untuk umat manusia.

Pertama, terdapat dua peperangan yang tidak sepatutnya berlaku. Namun, puluhan ribu orang tetap terbunuh. Jumlah kematian, mereka yang cedera, kehilangan harta benda dan kemusnahan yang berlaku amat besar. Tetapi tiada siapa melakukan apa-apa. Tiada apa yang diperoleh daripada peperangan itu.

Kemudian, kita melihat seorang pemimpin yang dipilih secara demokrasi bagi sebuah negara ditahan oleh negara lain.

Kita juga menyaksikan pembunuhan pemimpin negara yang tidak berperang dengan negara yang melakukan pembunuhan tersebut.

Kemudian, secara tiba-tiba sebuah negara diserang dan pemimpinnya dibunuh. Tindakan itu mencetuskan peperangan. Kini, negara yang melakukan serangan pula mengebom dan melancarkan serangan roket ke negara berkenaan. Negara itu kemudiannya mengebom dan melancarkan serangan roket terhadap pangkalan-pangkalan milik pihak penyerang di beberapa negara.

Alasan serangan bom dan roket itu adalah kerana pangkalan-pangkalan tersebut digunakan untuk melancarkan serangan. Kemudian, Israel menduduki sebahagian daripada sebuah negara lain sebelum mendakwa negara berkenaan menjadi tempat perlindungan pengganas.

Dan masih banyak lagi kejadian yang memerlukan ulasan. Dunia kini berada dalam keadaan bergolak.

Kerajaan-kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik. Rakyat mencabar pihak berkuasa melalui demonstrasi jalanan yang disertai ratusan ribu malah jutaan orang. Kemudian terdapat negara-negara yang berusaha untuk menjadi demokratik. Perang saudara pula tercetus dan menyebabkan negara-negara berkenaan menjadi tidak stabil.

Perang dan genosid di Gaza oleh Israel terus berlaku. Malah, ketika gencatan senjata sekalipun, Israel masih mengebom dan melancarkan serangan roket ke Gaza. Setakat ini, 73,000 rakyat Gaza telah terbunuh.

Seluruh bandar Gaza telah musnah dan menjadi timbunan runtuhan. Namun, rakyat Gaza masih berusaha untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Mereka malah menganjurkan aktiviti sukan seperti maraton, bola sepak dan kelas karate. Mereka juga menukar pekerjaan, termasuk menjadi peniaga gerai dan membuka kedai.

Terdapat juga peperangan antara Ukraine dan Rusia — satu peperangan yang tidak masuk akal kerana Ukraine tidak mampu mengalahkan Rusia. Namun, ribuan orang terkorban dan seluruh bandar musnah.

Di negara sendiri juga keadaan tidak lebih baik. Terdapat banyak kes mahkamah dan keputusan yang pelik dibuat. Mereka yang melakukan kesalahan kecil dihukum, manakala mereka yang mencuri jutaan ringgit dibebaskan dan dilantik ke jawatan tinggi.

Pemimpin-pemimpin yang pelik mengetuai banyak negara. Mereka juga membuat keputusan yang pelik. Begitulah keadaannya. Peristiwa demi peristiwa terus berlaku tanpa penghujung. Namun, seolah-olah tiada siapa yang mengambil berat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here